


Sunday, June 11, 2006
Pesta Matariki
bintang-bintang Matariki
Matariki selalunya timbul pada akhir bulan Mei di ufuk yang sama dengan terbitnya matahari. Lalu, sambutan tahun baru bagi kaum Maori akan diadakan sebaik sahaja terlihat anak bulan. Pada masa dahulu, sambutannya akan diadakan selepas padi dituai dan disimpan, dan satu jamuan besar-besaran akan diadakan.
Matariki, mengikut tradisi orang Maori, merupakan satu masa untuk menghubungkan kaum Maori dengan penuaian dan perubahan cuaca. Ia juga merupakan satu masa untuk megiktiraf peristiwa-peristiwa yang telah berlaku pada tahun yang lepas dan untuk menyambut peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada masa hadapan.
Namun, pada masa sekarang, ia merupakan satu masa yang istimewa untuk memberi penghormatan kepada tanah yang dijejak, meraikan tempat yang unik yang kita tinggal dan terus mengongsi kehidupan antara satu sama lain.
Gugusan bintang tersebut merupakan satu petanda bagi kaum Maori. Jika penglihatannya jelas, ia bermaksud bahawa tahun berikutnya merupakan tahun yang produktif. Namun, jika ia kabur dan tidak jelas pula, ia bermaksud bahawa tahun yang akan datang adalah tahun yang sejuk dan mempunyai banyak cabaran.
Gugusan bintang ini boleh dilihat di seluruh dunia dan di Greece, beberapa kuil menghadap langsung ke arah Pleiades. Begitu juga dengan Stonehenge di England.
Pesta Matariki ini disambut dengan adanya permainan yang merupakan satu seni kenikmatan bagi mereka, dan juga aktiviti-aktiviti yang menggembirakan seperti pesta besar-besaran dan yang paling penting sekali, pesta layang-layang.
Kaum Maori purbakala merupakan pakar dalam membuat layang-layang. Layang-layang dibuat dalam beraneka bentuk dan saiz dan dihias secantik mungkin. Kebanyakan layang-layang dibuat daripada toe toe, sejenis rumput, dan manuka, sejenis belukar yang mudah didapati di New Zealand.
Ada layang-layang diterbangkan sebagai satu hiburan dan ada digunakan untuk acara rohaniah. Kanak-kanak dan orang dewasa membuat layang-layang secara suka-suka dan juga untuk menguji kepakaran mereka dalam membuat layang-layang yang tercantik dan terbesar.
Layang-layang yang dibuat juga merupakan satu utusan bagi kaum Maori. Mereka menganggap layang-layang sebagai mempunyai hubungan yang semulajadi dengan tuhan.
Malangnya, pada tahun 1840, sambutan pesta Matariki ini telah ditiadakan apabila tanah mereka dijajah. Tiada lagi sambutan tahun baru dan permainan. Sayangnya, tradisi membuat layang-layang telah ditinggalkan juga pada masa itu. Namun, sambutan ini telah kembali pada tahun 1980-an. Sekali lagi, langit New Zealand telah menjadi tuan rumah untuk layang-layang diterbangkan.
Lantas itu, pesta Matariki ini boleh dianggap sebagai masa yang paling sesuai sekali untuk menerbangkan layang-layang yang telah dibuat.
Walaupun pesta Matariki ini tidak segah pesta Mardi Gras di Australia, ia juga merupakan satu sambutan yang penting bagi kaum Maori memandangkan ia merupakan tandanya tahun baru menjelang. Ia juga dapat merapatkan silaturrahim antara satu sama lain. Dengan adanya nyanyian, tarian dan lain-lain lagi seni pertunjukan, tidak hairanlah bahawa pesta ini disambut di seluruh New Zealand. Penonton dan pelancong yang hadir untuk menonton perayaan ini pasti gembira akan suasananya! Suasana yang riang dan penuh dengan suka ria sungguh berjangkit!
Dengan itu, dua perayaan telah dikongsi bersama. Kedua-dua perayaan ini mempunyai sambutan unik yang tersendiri. Pasti terhibur!

Pertunjukan Bunga Api
I save the planet with my hands
5:39 AM