Sunday, December 31, 2006
Pada tanggal 26hb November 2006, saya dan murid-murid Akademi Temasek yang lain telah pergi menonton Puteri Gunung Ledang the Musical di Esplanade. Ia merupakan kali pertama saya pergi menonton sebuah muzikal di panggung teater Esplanade. Sebelum itu, kami sempat mengambil beberapa gambar di luar Esplanade. Suasana pada waktu senja sungguh menakjubkan.(:

Sebelum muzikal tersebut bermula, saya beranggapan bahawa ia akan menjadi sebuah persembahan yang membosankan. Maklumlah, apa sahaja yang berkaitan dengan bahasa Melayu, saya berfikir bahawa ia membosankan. Selain itu juga, jalan ceritanya berdasarkan sebuah lagenda Melayu. Namun, tanggapan saya salah.
Saya menjadi begitu tertarik dengan cara hikayat Melayu ini dipersembahkan. Ia merupakan pertama kali saya menonton sebuah muzikal Melayu dan ia telah membuktikan bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu tidak semestinya membosankan. Tidak seperti cerita layarnya yang meleret dan membosankan, muzikal ini berjaya membuat orang menumpukan perhatian sepanjang pementasannya. Lagu-lagunya sungguh syahdu. Bahasa yang digunakan merupakan puisi yang dikarang cukup bunga. Lakonan pelakon-pelakonnya sungguh hebat. Props yang digunakan juga sungguh kreatif.
Jika dibandingkan dengan cerita layarnya, watak-watak yang telah dilakonkan lebih realistik dan tidak mengandungi unsur-unsur ajaib, lebih-lebih lagi watak Puteri Gunung Ledang yang telah dilakonkan oleh Tiara Jacquelina. Saya juga berpendapat bahawa jalan ceritanya lebih straightforward dan tidak meleret. Namun, apa yang tidak diubah ialah watak Hang Tuah tetap ditampilkan sebagai seorang pahlawan yang setia kepada Sultan Mahmud dan tidak ingkar kepada perintahnya. Saya berfikir bahawa jika watak Hang Tuah diubah, mungkin jalan ceritanya akan berlainan dengan lagenda Melayu yang sebenarnya. Ia mungkin akan menjadi lebih dramatik kerana Hang Tuah mungkin akan mengahwini Puteri Gunung Ledang. Jika ini berlaku, ia juga akan mengubah persepsi kita mengenai kehidupan orang dahulu. Jika mulanya kita berfikir bahawa rakyat sungguh taat akan Sultan, mungkin persepsi kita akan berubah kepada orang-orang dahulu mungkin mempunyai kehidupan seperti kita. Tidak endah kepada perintah dan mengikut kata hati sahaja.Ini semua membuat penonton lebih tertarik untuk menonton muzikal Puteri Gunung Ledang kerana ia membuat cerita Puteri Gunung Ledang ibarat sebuah kisah yang benar dan bukan rekaan. Memandangkan terdapat sesetengah manusia yang percaya bahawa kuasa ajaib itu tidak wujud, muzikal ini seolah-olah memberi satu perjanjian bahawa cerita Puteri Gunung Ledang betul-betul terjadi dan bukan satu rekaan. Dalam era yang moden seperti sekarang, mungkin cara jalan ceritanya lebih sesuai.Tuntasnya, saya berpendapat bahawa muzikal Puteri Gunung Ledang ini merupakan satu cara yang bijak dan tidak membosankan untuk menyampaikan sejarah Melayu kepada orang Melayu agar mereka akan lebih minat untuk mengetahui secara mendalam budaya mereka. Ia juga merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan kerana muzikal ini merupakan satu persembahan yang sungguh bagus.
I save the planet with my hands
1:10 AM
>>>