* * *
Hari Pertama:
Hari pertama ke Tanjung Pinang bermula dengan berkumpulnya kami di Tanah Merah Ferry Terminal pada pukul lapan pagi. Mungkin kerana keghairahan untuk pergi ke luar negeri, ada daripada kami yang datang lebih awal daripada yang dijanjikan, seawal pukul tujuh pagi. Memandangkan kami merupakan pelajar-pelajar yang tidak tahu malu dan suka sangat bergambar, kami pun mengambil gambar di tepi laut untuk disimpan sebagai kenangan.
Kami menaiki feri pada kira-kira pukul 9.15 pagi selepas melalui imigresen. Perjalanan ke Tanjung Pinang mengambil masa kira-kira dua jam dan perjalanan menaiki feri sungguh menyeramkan kerana perjalanannya tidak licin. Namun, kami meluangkan masa dengan mengambil gambar, mendengar muzik dan tidur!
Apabila kami sampai di Tanjung Pinang, kami terpaksa melalui imigresen sekali lagi. Kami dijemput oleh tour guide kami yang bernama Pak Sofyan. Setelah meninggalkan beg-beg kami di dalam van, kami menaiki pompong untuk pergi ke Pulau Penyengat.
Pulau Penyengat merupakan pusat kerajaan Riau-Johor pada abad ke 19. Jika anda pergi ke sana sekarang, anda akan jumpa banyak makam, lebih-lebih lagi makam Raja Ali Haji dan ahli keluarganya seperti Raja Hamidah dan Raja Jaafar. Selain itu, kami juga berpeluang untuk melihat Masjid Sultan Riau yang dipercayai dibina menggunakan telur putih. Ia dibina pada tahun 1818 dan warna kuningnya yang sungguh terang membolehkan masjid ini dilihat dari jauh.
Namun, apa yang paling seronok sekali ialah kami berpeluang untuk menaiki beca! Tidak pernah dalam hidup saya, saya diberi peluang untuk menaiki beca. Lantas itu, saya menjadi agak jakun bila pertama kali menaikinya! Kami menaiki beca mengelilingi Pulau Penyengat untuk menziarahi makam-makam, istana dan lain-lain lagi.

Sementara menunggu Ashraf, Denie, Taufik dan Encik Razali, tour guide kami dari Singapura, untuk habis mengerjakan sembahyang Jumaat, kami kaum perempuan dan pelajar-pelajar warga Cina dapat merasa kuih deram-deram dan ais kacang. Ais kacang disana agak berbeza daripada ais kacang yang terdapat di Singapura. Tapai digunakan sebagai salah satu bahan untuk membuat ais kacang dan ini memberikan rasa masam kepada ais kacang tersebut. Rasanya tidak enak kerana saya lebih suka ais kacang yang manis dan bukan masam!
Setelah kami habis meneroka seluruh Pulau Penyengat, kami pulang ke Tanjung Pinang untuk makan tengahari. Perjalanan pulang ke Tanjung Pinang dengan menaiki pompong agak tenteram dan shiok bagi saya! Air laut yang jernih dan kehijau-hijauan membuat saya rasa tenteram dan mengantuk.(:
Makan tengahari di Tanjung Pinang sungguh mengenyangkan. Banyak lauk yang dihidangkan. Selalunya, apabila makan di rumah, paling banyak dua lauk sahaja yang dihidangkan. Namun, makan di Tanjung Pinang membuatkan saya gemuk kerana lauk-lauknya banyak dan sedap.
Selepas makan tengahari, kami terus pergi ke Senggarang. Senggarang merupakan sebuah kampung yang didiami oleh warga Cina. ‘Machu Temple’, jika tidak salah saya, merupakan kuil yang tertua di Pulau Bintan. Ia dibina kira-kira 300 tahun dahulu. Namun, kerana keletihan, kami tidak berasa begitu ghairah untuk melihat kuil ini tetapi yang kelakarnya ialah kami sempat mengambil gambar sambil terlompat-lompat!(x Terdapat banyak patung di sana dan terdapat satu kolam yang dipenuhi dengan kura-kura. Kura-kura dianggap sebagai sesuatu yang membawa tuah. Setelah mengunjungi kuil tersebut, kami pergi minum air kelapa! Ia membuat badan saya berasa begitu sejuk dan tenteram!
Kami juga berpeluang untuk melihat sebuah kuil yang kelihatan seperti dipeluk oleh sebuah banyan tree. Ia agak mengagumkan kerana kuil tersebut seperti dilindungi oleh pokok tersebut daripada apa sahaja bencana.Setelah itu, akhirnya, kami check in di ‘Bintan Permata Beach Resort’. Kami diberi masa untuk berehat sebelum pergi makan malam. Makanan laut merupakan hidangan makan malam kami. Seperti apa yang saya katakan tadi, banyak jenis laut dihidang seperti ketam dan gonggong. Gonggong adalah satu jenis siput. Nadhirah menghabiskan satu pinggan ketam dan Izyan menghabiskan satu pinggan gonggong! Ish ish ish. Lapar sungguh mereka ya? Selepas itu, kami pulang ke hotel. Bayangkan, enam anak dara berkongsi satu bilik hotel. Haha. Sungguh sempit sehingga Nadh dan Warda terpaksa tidur di lantai. Minta maaf ya?(:
Hari Kedua:
Walaupun masih mengantuk kerana tidak cukup tidur, kami berasa agak ghairah untuk menghadapi hari tersebut. Ini kerana kami diberi peluang untuk melihat dan merasa bagaimana pelajar-pelajar Tanjung Pinang bersekolah. Kami telah pergi ke SMU Negeri 2, sebuah sekolah privet yang terletak tidak berjauhan daripada hotel kami. Selepas bersarapan di hotel, kami terus berangkat ke sana dengan hati yang berdebar-debar.Apabila kami sampai di sana, kami disuruh memasuki sebuah bilik sementara menunggu pengetua SMU Negeri 2 datang. Kami kelihatan tidak peduli dan bosan akan kunjungan kami ke sekolah tersebut tetapi di dalam hati, tuhan sahajalah yang tahu. Kunjungan kami bermula dengan sebuah ucapan daripada pengetua sekolah yang bernama Pak Hadi yang mengalu-alukan kedatangan kami. Agak lucu untuk mendengarnya cuba untuk berucap dalam bahasa Inggeris. Kedatangan kami juga disambut oleh beberapa pelajar yang merupakan students councillors. Mereka sungguh ramah sekali dan saya mendapat tahu bahawa salah satu daripada mereka yang bernama Fitri, boleh berbual dalam banyak bahasa seperti bahasa Indonesia, Perancis, Jepun dan Inggeris. Sungguh mengkagumkan! Saya tidak sangka bahawa ia diajar di SMU Negeri 2 memandangkan saya mempunyai persepsi bahawa sekolah-sekolah di Singapura jauh lebih bagus daripada sekolah-sekolah di Indonesia. Ternyata saya salah dan yang lebih memeranjatkan ialah yuran sekolah mereka ialah sekitar 10 000 rupiah sebulan. SUNGGUH MURAH! Selepas itu, kami diajak ke sebuah lapangan untuk mempersembahkan mass dance yang telah kami latih selama tujuh hari seminggu, dua puluh empat jam sehari. Haha. Ia sungguh memalukan kerana masih ada daripada kami yang tidak tahu sangat gerak-gerinya. Walaupun persembahan kami ala kadar sahaja, pelajar-pelajar SMU Negeri 2 tetap bersorak dan bertepuk tangan apabila kami habis berjoget. Saya sungguh suka akan sikap yang mereka tunjukkan! Selepas itu, dalam kumpulan elektif kami, kami diajak mengelilingi sekolah dan duduk dalam beberapa kelas. Kumpulan elektif saya mempunyai “tour guide” yang bernama Akmal. Akmal berusia lapan belas tahun dan dia sungguh ramah sekali. Dia membawa kami ke bilik administrasi dan perpustakaan. Perpustakaannya agak kecil tetapi itulah tempat yang paling saya suka kerana ia agak sunyi. Sebuah tempat yang ideal untuk menenangkan fikiran sambil menimba ilmu. Setelah itu, kami dibawa ke makmal IT. Kami berpeluang untuk melihat bagaimana kelas IT dilangsungkan. Ketika kami menghadiri kelas IT tersebut, seorang guru sedang mengajar murid-muridnya bagaimana untuk menggunakan Microsoft Excel. Saya berpendapat bahawa SMU Negeri 2 merupakan sebuah sekolah yang agak canggih dan setaraf dengan beberapa sekolah kejiranan di Singapura. Selepas itu, kami menghadiri kelas matematik yang diajar dalam bahasa Indonesia. Saya dan Nadhirah duduk di hadapan dua pelajar yang bernama Suci dan Tommy. Mereka sungguh ramah sekali dan sering bertanya soalan kepada kami. Mereka juga agak lucu, lebih-lebih lagi Tommy yang tidak putus-putus ingin membuat kami berasa selesa di dalam kelas. Semasa kami menghadiri kelas itu, guru mereka sedang mengajar quadratic equations dan discriminant. Mujur saya telah mempelajari topik tersebut. Jikalau tidak, saya tentu tidak faham akan apa yang diajar olehnya. Setelah masa berkunjung dari kelas ke kelas tamat, kami saling bertukar-tukar emel agar kami masih dapat berkomunikasi di antara satu sama lain. Kami juga dapat berkenalan dengan pelajar-pelajar lain seperti Efa, Fitri dan Richad. Kami juga berpeluang untuk belajar bagaimana hendak bermain volleyball atau bola tampar. Pelajar-pelajar lelaki bermain bola keranjang. Pelajar-pelajar yang mengajar kami bermain bola tampar sungguh sabar akan karenah kami yang agak keanak-anakan. Selesai bermain bola tampar, kami berehat sambil menonton persembahan yang telah diadakan untuk kami. Mereka sungguh berbakat sekali. Kami berpeluang untuk melihat dua pelajar berjoget mengikut lagu ‘Lose My Breath’ nyanyian Destiny’s Child dan melihat persembahan teater mereka.Sayang sekali, masa kunjungan kami sudah berakhir. Kami agak keberatan untuk meninggalkan sekolah tersebut kerana pelajar-pelajarnya sungguh ramah sekali dan baik hati. Inilah maksudnya apabila saya berkata kami mengalami perubahan perasaan dan pemikiran tentang sekolah tersebut. Kunjungan kami berakhir dengan ucapan oleh Pak Hadi dan juga Cikgu Elina dan pertukaran hadiah. Namun, kami datang dengan tangan kosong dan itu membuat kami rasa bersalah. Kami juga mengambil gambar secara berkumpulan untuk dibuat kenangan. Kami juga saling berjabat tangan dan mengucapkan terima kasih kerana menerima kedatangan kami dengan tangan yang terbuka. Sebelum kami beredar, seorang pelajar bernama Icha telah menarik tangan saya dan menunjukkan sebuah kad buatan ________. Kad itu juga merupakan sebuah komik dan jam. Sungguh unik sekali. Selepas itu, kami pun beredar dengan hati yang sedih dan juga puas kerana dapat berkenalan dengan mereka. Makan tengahari pun tidak selera kerana kepenatan.
Selepas itu, kami pergi ke faktori tempe dan sotong kering. Kami membeli beberapa paket tempe dan sotong kering untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh dari Tanjung Pinang.